Siti Musliha Dulu Dan Kini | Masih ingatkah dengan Siti
Musliha yang pernah popular sekitar tahun 90-an dulu? Aku membesar dengan
melihat beliau yang sering muncul di kaca TV3 dalam rancangan MHI kendalian
Aziz Desa ketika itu. Namun, selepas kemunculannya yang menyentap perasaan
orang ramai sekitar 1994 hingga 1996, Siti Musliha tiba-tiba ‘hilang’ tanpa
sebarang khabar berita.
Tiba-tiba, tadi aku terpandang satu post di facebook yang
memaparkan gambar terbaru Siti Musliha. Lantas, tergerak hati aku untuk
berkongsi dengan kalian semua mengenai beliau bagi membangkitkan nostalgia
mereka yang pernah mengenali beliau selama ini. Juga untuk tatapan anda yang
masih belum lahir ketika itu yang tidak tahu menahu mengenai kisah Siti
Musliha.
Latar Belakang Hidup
Nama penuh beliau adalah Siti Musliha Mohd Mustafa.
Dilahirkan pada 10 Januari 1983. Anak sulung kepada pasangan Mohd Mustafa Manap
dan Rohani Atan ini dilahirkan dalam keadaan tidak normal. Beliau mengalami
kecacatan seluruh anggota badan. Dilaporkan bahawa semasa lahir, beliau tidak
mempunyai batang hidung, dan salah satu lubang hidungnya terletak di atas
kening. Kedudukan mata beliau juga tidak normal.
Setelah 11 tahun mengharungi hidup yang perit, Siti Musliha
mendapat perhatian dari Datin Seri Dr. Wan Azizah yang pada ketika itu menghadiri
program sekolah penyayang di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Damansara. Bermula
saat itulah beliau mendapat perhatian dari seluruh masyarakat dan mula muncul
di televisyen pada 1994.
Siti Musliha telah menjalani pembedahan re-construction pada
kali pertama pada tahun 1984 di sebuah hospital di Adelaide, Australia.
Pembedahan kali pertama ini telah memakan masa selama 10 jam. Pembedahan
dilakukan untuk membentuk wajah Siti Musliha. Selain itu, doktor juga telah
menjalankan pembedahan untuk memisahkan jari beliau yang bercantum.
Pada tahun 1988, Siti Musliha telah menjalani satu lagi
pembedahan untuk membetulkan kedudukan mata beliau. Manakala pembedahan ketiga
telah dijalankan pada awal Ogos 1994 untuk membetulkan kedudukan hidung beliau
yang sebelum ini dibentuk pada pembedahan pertama. Kesemua pembedahan ini
memakan belanja hampir 1 juta. Kos pembedahan tersebut adalah hasil sumbangan
rakyat Malaysia yang prihatin pada masa itu untuk membantu Siti Musliha.
Bidang Seni
Banjir air mata. Itulah ungkapan paling tepat menggambarkan
kesedihan sesiapa saja yang menyaksikan kanak-kanak istimewa, Siti Musliha
muncul di televisyen menyanyikan lagu Hujan Air Mata pada 1995. Sekuat mana pun
cuba menahan perasaan, hampir setiap orang menangis atau sekurang-kurangnya
sebak dan tersentap perasaan saat mendengar kanak-kanak istimewa berwajah cacat
itu menyanyikan lagu kisah dirinya itu.
Setiap kali klip video Siti Musliha menyanyikan lagu itu
disiarkan di televisyen atau radio, ramai yang bersedia dengan sapu tangan buat
pengesat air mata. Ia lagu daripada album Siti Musliha yang diterbitkan
komposer Adnan Abu Hassan untuk mengutip dana bagi membiayai kos pembedahan
muka kanak-kanak tersebut. Lagu itu juga layak hingga ke peringkat separuh
akhir Anugerah Juara Lagu 1995. Selain pernah berlakon dalam sebuah drama yang
dibintangi Zaidi Omar sebagai seorang ayah yang tidak dapat menerima anaknya
yang cacat.
Kehidupan sekarang
Kini, usianya sudah mencecah 29 tahun. Siti Musliha masih
seperti dulu, tetap petah, bercakap lemah-lembut dan tersusun kata-katanya.
Ungkapannya sentiasa merendahkan diri. Siti Musliha juga sekarang ini terpaksa
bernafas melalui mulut selepas hidungnya kembali tersumbat berikutan tumbesaran
yang dialaminya.
Ketika ditemuramah oleh akhbar Utusan pada tahun lepas, Siti
Musliha baru saja pulang daripada menunaikan umrah. Menurutnya, beliau bukan
menghilangkan diri. Tapi mendekati Ilahi. Menariknya, beliau bukan sahaja
berbakat dalam bidang nyanyian. Tetapi juga berkebolehan menghabiskan 30 juzuk
ayat suci Al-Quran.
Doa Siti Musliha di hadapan Kaabah :
” Ya Allah ya tuhanku, aku bermohon kepada-Mu, pulihkan
pancainderaku agar aku dapat melihat dengan jelas dan merasai kehebatan
ciptaan-Mu di alam ini. Ya tuhanku, pelihara juga kesihatanku agar dapat aku
terus beribadat kepada-Mu tanpa perasaan jemu”
0 Response to "WAJAH TERBARU SITI MUSLIHA (hujan air mata)"
Post a Comment